Thursday, November 17, 2011

Tahniah


Tahniah diucapkan kepada adik Nur Azaleen, adik Nurfara Izzatul dan adik Nur Aiman diatas kejayaan memperolehi 5A didalam UPSR 2011. Gred Purata Sekolah (GPS) juga mencatat keputusan yang baik iaitu 1.87 bagi tahun 2011 berbanding 2.09 pada tahun sebelumnya 2010. Semoga mereka terus berjaya. Bagi mereka yang kurang bernasib baik, ingatlah masih banyak ruang untuk memperbaiki diri kerana yang pastinya ini hanyalah permulaan.

Sunday, November 6, 2011

Peristiwa Aidil Adha

Asal-Usul Aidiladha

Pada suatu hari Nabi Ibrahim bermimpi, dalam mimpinya itu Allah menyuruh Nabi Ibrahim menyembelih anaknya yang bernama Ismail. Selepas dari mendapat mimpi itu, Nabi Ibrahim pun memberitahu isterinya yang bernama Siti Hajar.
Maka berbincanglah Nabi Ibrahim, Siti Hajar dan Ismail. Siti Hajar berkata, “Mungkin mimpimu itu hanya mainan tidur saja tetapi kalau mimpi itu merupakan wahyu, wajiblah dituruti.” Apabila mendengar kata-kata ibunya, Ismail berkata kepada bapanya, “Ayahku, sekiranya ini merupakan wahyu dari Allah S.W.T., aku sedia merelakan diriku untuk disembelih.”
Setelah persetujuan dicapai, keesokan harinya Nabi Ibrahim pun membawa puteranya Ismail untuk disembelih. Perkara Nabi Ibrahim hendak menyembelih anaknya telah sampai kepada pengetahuan orang ramai. Hal ini membuat orang ramai takut sehingga ada yang mengatakan, “Nampaknya Nabi Ibrahim mungkin sudah gila hinggakan mahu menyembelih anaknya sendiri. Kalau kita biarkan perkara ini, nanti kitapun akan dibunuhnya.”
Walau apapun tuduhan orang terhadapnya, namun Nabi Ibrahim tetap menjalankan tugas yang diperintahkan oleh Allah S.W.T terhadapnya. Setelah Nabi Ibrahim dan anaknya Ismail sampai pada tempat yang dituju, berkatalah anaknya, “Wahai ayahku, aku fikir cara yang baik untuk menyembelih adalah dengan cara aku disembelih dalam keadaan menelungkup tapi mata ayah hendaklah ditutup. Kemudian ayah hendaklah tahu arah pedang yang tajam dan ayah kenakan tepat kepada leherku.”
Kemudian Nabi Ibrahim pun melaksanakan perintah yang Allah S.W.T perintahkan dalam mimpinya. Baginda pun mengucapkan kalimah atas nama Allah lalu memancungkan pedangnya pada leher anaknya itu. Maka terperciklah darah mengenai badan Nabi Ibrahim. Sebagai seorang manusia biasa, Nabi Ibrahim pun menggeletar dan membuka penutup matanya.
Tetapi alangkah terperanjatlah apabila melihat yang disembelihnya itu bukanlah anaknya melainkan seekor kibas. Dengan memuji kebesaran Allah S.W.T, kedua-duanya pun berpeluk-peluk sambil bersyukur kepada Tuhan kerana memberi kekuatan sehingga dapat melaksanakan amanat dari Allah S.W.T.

Friday, November 4, 2011

Salam Aidil Adha





Selamat menyambut Hari Raya Aidil Adha kepada semua warga SKDKP. Semoga semua ibadah korban kita diterima Allah. Sekolah akan bercuti sehingga hari Selasa 8hb Nov disusuli dengan aktiviti ibadah korban peringkat sekolah pada 9hb Nov beserta dengan Sambutan Hari Kanak-Kanak pada hari yang sama. Semoga aktiviti sedemikian akan membuahkan ikatan ukhwah yang terbaik dikalangan semua warga SKDKP dan masyarakat setempat. Insyaallah.