Monday, January 28, 2013

Sambutan Maulidur Rasul 2013M/1434H Peringkat Sekolah




Rumah Biru dan Rumah Kuning

Rumah Hijau dan Rumah Merah

Tarikh : 31 Janurari 2013
Hari    : Khamis
Masa  : 7.30 Pagi

       Sambutan Majlis Maulidur Rasul Peringkat Sekolah dengan tema "Wasatiyyah Tonggak Kesatuan Ummah" telah berlangsung di SK Dato' Klana Putra, Lenggeng. Aturcara program dimulakan dengan taklimat oleh Ustaz Jeefrey bin Isnin diikuti dengan sesi tazkirah ringkas oleh Ustaz Azman bin Baharom. Sejurus selepas itu, program terakhir iaitu perarakan sambil berselawat berlangsung sehingga jam 8.45 pagi. Majlis sambutan pada tahun ini telah berlangsung dengan jayanya dengan kerjasama semua guru-guru dan murid-murid. Ini kerana, sehari sebelum berlangsungnya majlis tersebut, guru-guru bagi setiap rumah sukan telah bertungkus-lumus menyiapkan sepanduk untuk diarak semasa perarakan pada keesokan harinya. Hasil kreativiti sentuhan seni guru-guru dibantu oleh murid-murid telah menghasilkan sepanduk yang unik serta menampilkan kelainan bagi setiap rumah sukan. Setiap rumah mempunyai kelebihan masing-masing dari segi sepanduk serta kekemasan pasukan semasa berarak. Para hakim pasti sukar untuk menentukan pemenang. Walaubagaimanapun keputusannya, objektif yang paling penting ialah dapat memupuk sifat cinta kepada Nabi Muhammad S.A.W dengan berselawat ketika berarak. Diharapkan dengan majlis ini, dapat terus menyedarkan kita betapa pentingnya kita untuk memupuk rasa cinta terhadap junjungan besar Nabi Muhammad S.A.W dan melaksanakan segala sunnahnya agar kita mendapat syafaat di hari Akhirat.

Saturday, January 19, 2013

Gotong-royong Perdana 2013




      Pada hari Sabtu, 19 Januari 2013, jam 8.00 pagi telah berlangsung Gotong-royong Perdana 2013. Program ini telah dihadiri oleh guru-guru, sebilangan murid-murid dan ibu bapa serta penjaga. Sebelum bermulanya program ini, murid-murid telah dibahagikan tugas mengikut guru masing-masing. Antara tugas-tugas yang dijalankan untuk Gotong-royong Perdana pada kali ini ialah mengecat kawasan sekolah, mengindahkan taman herba serta pondok bacaan, menceriakan laluan berbumbung dengan bahan-bahan ilmiah dan menyimen kawasan berbatu di hadapan kelas Pendidikan Khas. "Ringan Sama Dipikul, Berat Sama Dijinjing", berkat kerjasama guru-guru, murid-murid dan ibu bapa serta penjaga, semua tugasan dapat diselesaikan dengan jayanya. Di samping itu, program ini dilihat dapat mengeratkan lagi hubungan silaturrahim antara semua pihak yang terlibat supaya lebih saling kenal-mengenali dan bertegur-sapa antara satu sama lain. Melalui program ini, sokongan pihak luar dapat ditingkatkan lagi melalui aktiviti kemasyarakatan. Program ini berakhir pada jam 12.00 tengah hari.  

Majlis Penyerahan Wang Bantuan Persekolahan 2013




       Pada hari Rabu, 16 Januari 2013, jam 2.30 petang, Majlis Penyerahan Wang Bantuan Rakyat 1 Malaysia (BR1M) telah berlangsung di Dewan SK Dato' Klana Putra, Lenggeng. Majlis ini telah disempurnakan oleh YB ADUN Lenggeng, YB. Tuan Mustafa bin Salim. Wang Bantuan Rakyat 1 Malaysia ini bernilai RM 100 untuk seorang anak yang bersekolah dari tahun 1 hingga tahun 6 termasuklah murid-murid di Pendidikan Khas. Sebagai simbolik kepada penyerahan BR1M kepada ibu bapa murid-murid, seramai 20 orang ibu bapa serta penjaga menerima Wang BR1M yang disampaikan sendiri oleh YB. Tuan Mustafa bin Salim. Selepas itu, sesi penyerahan Wang BR1M melalui kaunter-kaunter yang telah dibuka mengikut kelas murid-murid bermula dari Pendidikan Khas, tahun 1 hingga tahun 6. Majlis ini telah berakhir pada jam 4.00 petang. Diharapkan dengan bantuan ini, dapat mengurangkan bebanan yang ditanggung ibu bapa dalam menyediakan kemudahan persekolahan anak-anak mereka. 

Perjumpaan 3 Penjuru Tahun 6




     Pada 11 Januari 2013 bersamaan hari Jumaat, jam 9.30 pagi telah berlangsung perjumpaan ibu bapa tahun 6 bersama guru-guru tahun 6. Tujuan majlis ini ialah untuk memperkenalkan guru-guru tahun 6 kepada ibu bapa murid-murid tahun 6 serta berbincang berkenaan program-program yang sesuai untuk murid-murid tahun 6 sebelum menghadapi UPSR. Majlis ini diserikan lagi dengan kehadiran YDP PIBG SK Dato' Klana Putra, En. Khairul Azmi yang telah memberikan pandangan terhadap program yang telah dirancang oleh sekolah terhadap murid-murid tahun 6. Sebelum sesi mengisi borang Aku Janji oleh murid-murid tahun 6 di hadapan guru-guru tahun 6 dan disaksikan oleh ibu bapa mereka, satu slot motivasi telah diadakan selama 1 jam yang disampaikan oleh Haji Mohammad Ali bin Hj. Dahlan yang merupakan suami kepada Guru Penolong Kanan 1, Pn. Zahariah  bt Abd. Kadir. Kata-kata semangat dari beliau nyata menyemarakkan semangat murid-murid 6 dalam menhadapi hari penting sebelum UPSR. Majlis ini telah berakhir pada jam 12.10 tengah hari. 

Friday, January 18, 2013